Pengepungan Madinah Perang_Ahzab

Peta diagram Perang Ahzab (Perang Khandaq), tahun 627 M. Parit digali di kawasan utara dan barat laut Madinah.

Pengepungan Madinah bermula pada 31 Mac 627 M dan berlanjutan selama 27 hari.[12] Memandangkan peperangan pengepungan jarang berlaku di negeri Arab, pihak Bergabung yang tiba di Madinah mendapati mereka tidak bersedia untuk menangani parit yang digali Muslim. Tentera Gabungan cuba menyerang dengan penunggang kuda dengan harapan mencari laluan, tetapi pihak Muslim diatur dalam kedudukan kukuh dan dapat mematahkan setiap percubaan.[1] Kedua-dua bala tentera berkumpul masing-masing pada dua belah parit yang bertentangan dan masing-masing menghabiskan masa dua atau tiga minggu menghamburkan penghinaan dalam bentuk syair terhadap lawan, diiringi dengan anak panah yang dilepaskan dari jarak jauh. Maxime Rodinson menulis bahawa tiga orang penyerang dan lima orang yang bertahan korban dalam tempoh itu. Sebaliknya, tanaman sudah siap dituai Muslim dan pihak Gabungan sukar mendapatkan makanan untuk kuda mereka yang pada kesudahannya tidak membantu dalam serangan yang mereka lakukan. [13]

Para veteran Quraisy mula berasa bosan dengan kebuntuan dan sekumpulan yang diketuai Amr ibn Abd Wudd (yang difikirkan Quraisy sama dengan seribu pejuang)[14]) dan Ikrimah bin Abu Jahal cuba menggempur parit. Mereka berjaya merentasi parit dan mara ke kawasan paya berdekatan bukit Sala'. Amr mencabar Muslim berperang tanding. Sayidina Ali bin Abi Talib RA menerima cabaran tersebut dan selepas pergelutuan pendek, Amr dibunuh Sayidina Ali diiringi tidak lama kemudian dengan teriakan "Allahu Akbar" – Allah Maha Besar. Pasukan kecil Gabungan berundur dalam keadaan kelam kabut berikutan pembunuhan Amr.[15] Kendatipun pihak Gabungan hanya kehilangan tiga orang pejuang, mereka gagal mencapai apa-apa matlamat.[1]

Pasukan Gabungan cuba beberapa kali untuk melintasi parit pada waktu malam tetapi gagal. Walaupun pihak Gabungan mampu mengatur anggota mereka di sepanjang parit, mereka agak keberatan untuk bertempur berdepan-depan dengan orang Islam kerana pejuang Muslim dianggap lebih cekap dalam pertempuran berdepan-depan.[1] Oleh sebab tentera Islam berada dalam kedudukan kukuh di belakang tebing parit yang dibina daripada tanah, dan bersedia untuk melontarkan batu dan anak panah sekiranya sesiapa cuba menyeberang parit, apa jua gerakan menyeberang akan menyebabkan ramai korban.[13]

Bani Quraizah

Pihak Gabungan cuba menyerang secara serentak. Dalam satu percubaan khususnya, mereka memujuk Bani Quraizah agar menyerang dari selatan. Quraizah tinggal di dalam perkarangan Madinah dan penempatan mereka terletak di arah selatan Madinah.[1] Huyayy ibn Akhtab, ketua Yahudi Bani Nadhir dari Khaibar, pulang ke Madinah untuk mendapatkan sokongan daripada Quraizah.[16]

Setakat ini Bani Quraizah telah mencuba untuk berkecuali dalam perang antara Muslim Madinah dengan tentera Gabungan Arab musyrik dan beberapa puak Yahudi lain,[4] dan berkeberatan untuk menyertai pihak Gabungan disebabkan perjanjian dengan Nabi Muhammad (Piagam Madinah) yang telah mereka buat pada awalnya.[17] Malah, ketua Quraizah enggan menerima Huyayy ibn Akhtab apabila Huyayy datang berjumpa buat kali pertama.[18]

Namun, Huyayy bin Akhtab akhirnya berjaya bertemu Quraizah dan meyakinkan mereka bahawa orang Islam sudah tentu dapat ditewaskan.[1] Quraizah dapat melihat ketumbukan tentera Gabungan yang besar, yang bergerak di merata tempat dengan ramai anggota tentera berjalan kaki dan yang berkuda, dan akhirnya Quraizah bertukar fikiran dan menyertai Gabungan.[18]

Berita yang kononnya Quraizah telah belot mula tersebar dan Sayidina Umar Al-Khattab RA dengan cepat memaklumi Nabi Muhammad. Telahan berkaitan pembelotan Quraizah diperkuat dengan pergerakan tentera Gabungan ke arah penempatan dan kubu kuat Quraizah.[5][18] Timbul perasaan risau pada Nabi Muhammad tentang pergerakan mereka,[19] dan Nabi Muhammad menyedari bahawa Quraizah menimbulkan keadaan yang amat berbahaya kepada orang Islam. Nabi Muhammad tidak membuat persiapan rapi terhadap pertahanan di perbatasan Madinah (di arah selatan) dengan kaum tersebut kerana berpegang pada perjanjian antara baginda dengan Bani Quraizah.[17] Tambahan pula Quraizah memiliki senjata: 1,500 bilah pedang, 2,000 batang lembing, 300 buah baju besi, dan 500 buah perisai.[20]

Nabi Muhammad menghantar tiga orang Sahabat untuk meninjau perkembangan terkini Quraizah. Baginda menasihati mereka agar memberikan pendapat mereka secara terbuka sekiranya Quraizah masih taat, kerana ini boleh mengekalkan semangat pejuang Islam. Namun, baginda juga menasihati mereka agar tidak menyebarkan berita tentang pembelotan sekiranya benar kerana ini boleh menimbulkan perasaan cemas dan kelam kabut dalam kalangan Muslim.[17][18]

Para Sahabat mendapati sesungguhnya Quraizah telah melanggar perjanjian dan cuba meyakinkan mereka agar berpegang kepada perjanjian yang dibuat dengan Nabi Muhammad tempoh hari dengan memperingatkan mereka tentang nasib Bani Nadhir dan Bani Qainuqak; namun mereka gagal meyakinkan Quraizah.[18] Hasil tinjauan Sahabat disampaikan kepada Nabi Muhammad dengan menggunakan metafora: "Adal dan Qarah"—Maududi berpendapat metafora tersebut bermaksud Quraizah telah belot dan membunuh orang Islam apabila mendapat kesempatan. Ini kerana kaum Adal dan Qarah pernah berkelakuan serupa.[17]

Krisis di Madinah

Nabi Muhammad cuba menyorokkan maklumat yang baginda terima. Namun, khabar angin tentang serangan besar-besaran terhadap Madinah dari arah penempatan Quraizah mula tersebar secara meluas. Khabar angin ini menjejaskan orang Islam dan menjejas serta melemahkan semangat mereka.[21]

Penduduk Muslim Madinah mendapati keadaan mereka bertambah buruk selang hari. Bekalan makanan menyusut, dan malam bertambah sejuk. Mereka kekurangan tidur dan ini juga menjejaskan mereka.[22] Keadaan menjadi genting dan dilaporkan buat kali pertamanya solat berjemaah hanya dilakukan pada malam hari.[21] Mengikut Ibn Ishaq, pada waktu ini keadaan menjadi amat serius dan perasaan takut dirasai di mana sahaja.[23]

Al-Quran memerikan keadaan getir dalam Surah Al-Ahzab:

“Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan. (10) Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat. (11) Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: "Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja". (12) Dan juga masa itu ialah masa segolongan di antara mereka berkata: "Wahai penduduk Yathrib, tempat ini bukan tempat bagi kamu (untuk berjuang di sini), oleh itu baliklah". Dan sebahagian dari mereka pula meminta izin kepada Nabi (hendak balik) sambil berkata: "Sesungguhnya rumah-rumah kami memerlukan perlindungan", pada hal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri (dari berjuang menegakkan Islam). (13) Dan kalaulah tempat-tempat kediaman mereka itu diserang oleh musuh dari segala penjurunya, kemudian mereka diajak berpaling tadah menentang Islam, sudah tentu mereka akan melakukannya, dan mereka tidak bertangguh lagi tentang itu melainkan sebentar sahaja. (14) Pada hal sesungguhnya mereka telahpun mengikat janji dengan Allah sebelum itu, iaitu mereka tidak akan berpaling undur (dari medan perang yang mereka hadiri). Dan (ingatlah) janji setia dengan Allah itu akan ditanya kelak (tentang penyempurnaannya). (15)”[al-Quran 33:10-15 (Terjemahan oleh Basmeih)]

Surah ini menyambung:

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja". (16) Katakanlah: "Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu, atau (siapakah yang dapat menahan kemurahan Allah) jika Ia hendak memberikan rahmat kepada kamu? " Dan (ingatkanlah) mereka (yang munafik) itu: bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapapun - yang lain dari Allah - yang akan menjadi pelindung atau penolong mereka. (17) Sesungguhnya Allah mengetahui akan orang-orang (munafik) yang menghalangi di antara kamu, dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya: "Marilah bersatu dengan kami", sedang mereka tidak turut berperang melainkan sebentar sahaja. (18) Mereka bersikap bakhil kedekut terhadap kamu (wahai orang-orang mukmin untuk memberikan sebarang pertolongan); dalam pada itu apabila datang (ancaman musuh yang menimbulkan) ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai Muhammad, meminta pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar seperti orang yang pengsan semasa hampir mati. Kemudian apabila hilang perasaan takut itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil mereka tamakkan kebaikan (yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu tidak beriman, lalu Allah gugurkan amal-amal mereka. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya. (19) Mereka menyangka bahawa tentera "Al-Ahzaab" itu belum pergi; dan kalaulah tentera Al-Ahzaab datang semula, tentulah mereka suka kalau mereka tinggal jauh di desa-desa bersama-sama orang-orang Arab Badwi sambil bertanyakan berita mengenai kamu; dan kalaulah mereka ada bersama-sama kamu (pada ketika itu), mereka tidak akan turut berperang melainkan sebentar sahaja. (20) Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (21) Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. (22)”[al-Quran 33:16-22]

Gerak balas Muslim

Nabi Muhammad menghantar 100 orang Islam ke pusat bandar Madinah bagi pertahanannya sebaik sahaja baginda mendengar berita angin tentang pembelotan Bani Quraizah. Kemudian baginda menghantar 300 orang askar berkuda (askar berkuda tidak diperlukan di parit) juga bagi mempertahankan Madinah.[5] Namun dalam keadaan cemas ini suara kuat para tentera Islam semasa menunaikan solat berjamaah di malam hari memberikan gambaran seolah-olah mereka ramai dan kuat.[18]

Krisis ini menunjukkan Nabi Muhammad bahawa ramai anggota tentera baginda sudah hampir hilang daya. Baginda menghubungi Ghatafan (suku Badwi) dan cuba memujuk mereka menyertai tentera Islam dengan menawarkan mereka sepertiga hasil tanaman buah kurma Madinah sekiranya mereka berundur. Walaupun Ghatafan pada mulanya meminta dibayar setengah hasil kurma, akhirnya selepas berunding dengan Nabi Muhammad, mereka bersetuju dengan syarat-syarat yang dirundingkan. Walau bagaimanapun, Nabi Muhammad telah bermesyuarat terdahulu dengan ketua-ketua Madinah sebelum membuat perjanjian. Pembesar-pembesar Madinah membantah dan tidak bersetuju akan syarat-syarat perjanjian,[22] dengan alasan Madinah tidak pernah jatuh ke tahap itu; justeru rundingan dengan Ghatafan dihentikan. Mahupun Ghatafan tidak berundur, mereka telah mengundang kecurigaan sekutu lain kerana mereka telah mengadakan rundingan dengan pihak Islam. Ekoran itu, pertelagahan dalaman Gabungan bertambah runcing.[1]

Mengikut sejarawan Ibn Ishaq, pada ketika itu Nabi Muhammad didatangi Nuaim bin Masud, seorang kenamaan Arab yang dihormati orang Gabungan, yang telah memeluk Islam secara rahsia. Pada lawatan itu Nabi Muhammad meminta Nuaim membantu mengakhirkan pengepungan dengan menanam rasa curiga dalam kalangan pihak Gabungan.

Ralat skrip: Modul "Trim quotes" tidak wujud.
— William Montgomery Watt[1]

Nuaim kemudiannya melahirkan satu strategi yang berkesan. Beliau pertamanya pergi ke Bani Quraizah dan memberi amaran kepada mereka tentang niat ahli Gabungan yang lain. Kata beliau, sekiranya pengepungan itu gagal, pihak Arab Gabungan tidak akan ragu-ragu meninggalkan orang Yahudi kepada belas kasihan Nabi Muhammad. Justeru, Quraizah harus meminta Gabungan memberi beberapa orang sandera bagi memastikan kerjasama berterusan Quraizah. Nasihat Nuaim ini menimbulkan kerisauan dalam kalangan orang Quraizah yang sememangnya sudah mula berasa curiga.[5][22]

Kemudian Nuaim pergi bertemu Abu Sufyan, ketua Gabungan, dan memberitahunya bahawa kaum Quraizah sudah berpaling tadah dan menyertai Nabi Muhammad. Beliau menyatakan bahawa kaum Yahudi itu berniat meminta sandera daripada pihak Gabungan, kononnya sebagai balasan kerjasama yang diberikan mereka, tetapi sebenarnya Quraizah mahu menyerahkan sandera kepada Nabi Muhammad. Justeru, pihak Gabungan tidak sepatutnya memberikan walau seorang pun sandera kepada Quraizah. Dan Nuaim mengulangi ceritanya kepada kaum-kaum Gabungan yang lain.[5][22]

Keruntuhan Gabungan

Strategi Nuaim berkesan. Setelah berunding, ketua-ketua Gabungan menyuruh Ikrimah pergi ke Quraizah sebagai isyarat serangan bersatu terhadap Madinah. Sebaliknya, Quraizah berkeras meminta orang tebusan sebagai jaminan yang pihak Gabungan tidak akan meninggalkan Bani Quraizah sekiranya pengepungan gagal. Pihak Gabungan pula berfikiran bahawa Quraizah akan menyerahkan sandera tersebut kepada Nabi Muhammad dan seterusnya enggan memberi orang tebusan. Perutusan dihantar pergi balik antara kedua belah pihak, namun tidak ada yang mahu berganjak.[5][22]

Abu Sufyan memanggil Huyayy bin Akhtab, dan memaklumkannya tentang sambutan Quraizah. Huyayy tersentak dan Abu Sufyan menuduhnya sebagai "pengkhianat". Risau akan keselamatannya, Huyayy melarikan diri ke kubu kuat Quraizah di selatan Madinah.[5][22]

Puak Badwi, kaum Ghatafan, dan puak-puak Gabungan yang lain pula terjejas dengan rundingan yang diadakan Quraizah dengan Nabi Muhammad. Mereka menyertai ekspedisi gabungan hanya dengan harapan mendapat hasil penjarahan dan bukan kerana membenci Islam. Mereka putus harapan kerana pengepungan memakan masa yang lama (mereka tidak biasa dengan kaedah peperangan berbentuk pengepungan) dan oleh sebab itu berasa kurang minat meneruskan pengepungan. Kedua-dua kelompok pihak Gabungan ini pada kesudahannya mula menuding jari dan saling mencurigai pihak yang lagi satu.[22]

Pada masa yang sama bekalan pihak Gubungan juga menyusut. Kuda dan unta mati akibat kebuluran dan kecederaan. Cuaca pula amat sejuk dan hujan turun buat beberapa hari. Angin kencang bertiup dan memadamkan unggun api, sekaligus menghilangkan punca haba anggota Gabungan. Sebaliknya, petempatan Muslim terlindung daripada angin. Khemah-khemah tentera Gabungan ranap ditiup angin, unggun api padam, hujan dan pasir memercik muka mereka; mereka menjadi takut tentang keadaan mereka. Kesemua ini mereka anggap sebagai petanda sesuatu yang buruk yang bakal melanda mereka. Kesatuan mereka sudah berkecai. Akhirnya mereka mula berundur pada waktu malam dan pada keesokan harinya medan perang menjadi kosong.[24]

Rujukan

WikiPedia: Perang_Ahzab http://www.iium.edu.my/deed/hadith/bukhari/008_sbt... http://www.iium.edu.my/deed/hadith/muslim/031_smt.... http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=pertanda http://tanzil.net/#trans/ms.basmeih/33:009 http://tanzil.net/#trans/ms.basmeih/33:010 http://tanzil.net/#trans/ms.basmeih/33:016 http://www.al-islam.org/restatement/26.htm http://www.answering-islam.org/Books/Muir/Life3/ http://www.thewaytotruth.org/prophetmuhammad/trenc... http://www.witness-pioneer.org/vil/Books/SM_tsn/ch...